Wilayah Pattani

Pattani atau Patani (Jawi: ڤطاني) merupakan salah satu daripada wilayah-wilayah (changwat) di selatan Thailand yang terbentuk hasil pemecahan Kerajaan Pattani/Kesultanan Patani. Wilayah-wilayah yang berdekatan (dari hala selatan tenggara ikut jam) adalah Narathiwat (Menara), Yala (Jala) dan Songkhla (Singgora).

Pattani
ڤطاني

ปัตตานี
Wilayah
Masjid Besar Pattani

Peta Thailand tertumpu pada Wilayah Pattani
Negara Thailand
Ibu kotaPattani
Kerajaan
  GabenorThirathep Siyaphan (sejak 2008)
Luas
  Jumlah1,940.4 km2 (749.2 batu persegi)
Ranking kawasanKe-67
Penduduk
 (2011)
  Jumlah663,485
  KedudukanKe-39
  Kepadatan340/km2 (890/batu persegi)
  Kedudukan kepadatanKe-9
Zon waktuUTC+7 (Waktu di Thailand)
Kod ISO 3166TH-94

Masyarakat Melayu tempatan memanggil wilayah mereka Patani Darussalam atau Patani Raya.

Geografi

Pattani terletak di Semenanjung Malaysia dengan pantai Teluk Thailand di sebelah utara. Di bahagian selatan terdapat beberapa gunung-ganang dan tempat tarikan pelancong seperti taman negara Budo-Sungai Padi yang berada di persempadan wilayah Yala dan Narathiwat. Di sini, terdapat beberapa tumbuhan yang agak luar biasa seperti pokok nyiur Bangsoon dan rotan Takathong. Di kawasan persempadan dengan Songkhla dan Yala pula terdapat sebuah taman rimba yang terkenal dengan gunung terjunnya, Namtok Sai Khao atau juga dikenali dengan nama Melayunya Air Terjun Sungai Padi.

Sejarah

Pada asalnya, Pattani merupakan sebuah kerajaan Melayu Islam yang merdeka. Setelah Kerajaan Ayutthaya jatuh pada tahun 1767 di tangan Burma, Dinasti Chakri yang baru ditubuhkan berjaya menghalau penjajah Burma dari Siam dan menaruh minat untuk meluaskan pengaruhnya ke kawasan selatan termasuk Patani. Serangan pada tahun 1785 berjaya menakluki Patani. Untuk mengukuhkan penguasaannya, Siam melantik orang Melayu sendiri sebagai gabenor di Patani dengan Raja Kampung Laut Tuan Besar dari Kelantan sebagai gabenor yang memakai gelaran raja atau sultan atau dalam bahasa Siam sebagai Phraya. Phraya Patani ke-V dan terakhir iaitu Sultan Abdul Kadir Kamarudin Syah telah dibuang negeri ke Kelantan kerana terlibat dalam pemberontakan untuk membebaskan Patani daripada Siam pada tahun 1902 sekaligus menghapuskan sistem beraja Melayu di Patani. Pada 1909, penguasaan Siam terhadap Pattani diperkukuhkan dan diakui oleh British secara rasmi akibat perjanjian yang dimeteraikan dengan Empayar British. Narathiwat dan Yala ditadbirkan secara berasingan. Di Yala terdapat sebuah pergerakan pemisah Patani yang kembali aktif pada 2004 setelah lama berdiam diri. Pergerakan pemisah ini menuntut kemerdekaan Pattani Darussalam atau bergabung dengan Malaysia.

Demografi

Pattani merupakan salah satu daripada empat wilayah Thai yang mempunyai majoriti penduduk yang beragama Islam; 85% adalah Muslim. Ia berasal dari perkataan dalam Bahasa Melayu 'Pantai Ini'. Sebagai salah satu wilayah baru yang diwujudkan dari Negara Patani yang asal, demografinya tidak jauh berbeza dengan wilayah-wilayah majoriti Melayu Islam yang lain seperti Narathiwat, Yala, Satun dan Songkhla.

Simbol

Lambang wilayah Pattani memaparkan sebuah meriam yang dipanggil "Sri Pattani", yang dihasilkan di Pattani untuk mempertahankan Pattani dari serangan Siam. Apabila Pattani dikalahkan Siam pada 1785, meriam "Sri Pattani" dibawa ke Bangkok dan sekarang dipamerkan di hadapan bangunan Kementerian Pertahanan di Bangkok dan diberi nama Siam, "Phya Pattani". Pada asalnya terdapat dua meriam dan yang satu lagi ialah "Sri Negaro" tapi telah terjatuh ke dalam Kuala Sungai Pattani semasa hendak diangkut ke Bangkok. Simbol-simbol yang lain termasuk bunga raya (Hibiscus rosa-sinensis), dan pokok Chengal Kampung (Hopea odorata).

Kawasan pentadbiran

Pattani terbahagi kepada 12 kawasan pentadbiran (Amphoe), dibahagikan lagi kepada 115 daerah swapraja (tambon) dan 629 buah kampung (mubaan).

Peta Nombor Nama Thai Melayu
1Mueang PattaniเมืองปัตตานีPatani
2Khok Phoโคกโพธิ์Kuk Pur
3Nong ChikหนองจิกNung Chik
4PanareปะนาเระPenarik
5MayoมายอMaja
6Thung Yang Daengทุ่งยางแดง?
7Sai BuriสายบุรีSelindung Bayu, Telube
8Mai Kaenไม้แก่น?
9Yaringยะหริ่งJaring, Jamu
10YarangยะรังCegar
11Kaphoกะพ้อ?
12Mae Lanแม่ลาน?

Kekecohan

Sejak awal tahun 2004, beberapa insiden rusuhan dan kekecohan telah melanda selatan Thailand, terutama di wilayah-wilayah Narathiwat, Yala, dan Pattani. Kawasan-kawasan ini didiami oleh majoriti penduduk Melayu Islam dan aktiviti gerakan pemisah telah aktif sejak tahun 80an. Penduduk-penduduk di sini tidak berasa senang dengan reaksi keras kerajaan pusat terhadap aktiviti gerakan pemisah tersebut. Kebanyakkan mereka juga tidak puas hati dengan beberapa polisi kerajaan pusat yang memperlakukan mereka dengan cara berbeza dari kaum etnik Thai.

Pada 26 Oktober 2004, 78 orang telah meninggal dunia akibat kesesakan nafas setelah kesemuanya dimasukkan di dalam trak polis akibat ditangkap di atas tuduhan rusuhan di daerah tersebut dan sekelilingnya.

Pada 7 November 2004, Menteri Pertahanan Thai telah mengatakan bahawa lebih kurang 700 orang telah tercedera atau terkorban akibat kekacauan yang berlaku di selatan Thailand sejak Januari.

Lihat juga

Pautan luar

This article is issued from Wikipedia. The text is licensed under Creative Commons - Attribution - Sharealike. Additional terms may apply for the media files.