Temenggung

Temenggung atau Temenggong ialah gelaran pembesar dalam kesultanan Melayu yang mempunyai sistem Empat Lipatan. Temenggung pada asalnya merupakan jawatan tertinggi dalam pentadbiran kerajaan kesultanan Melayu yang bertanggungjawab dalam menjaga keselamatan dan keamanan dalam negeri.

Temenggung mula wujud ketika zaman pemerintahan Parameswara, Raja Melaka pertama. Sebagai pewaris Kesultanan Melaka, ianya diteruskan oleh Kesultanan Johor. Dengan ejaan 'Temenggong', ianya juga digunakan dalam sistem pembesar diraja Brunei, iaitu sebagai seorang wazir.

Penggunaan

Brunei

Temenggong merupakan salah seorang wazir, iaitu golongan tertinggi selepas Sultan dalam hierarki pembesar diraja Brunei. Terasul atau gelaran penuh bagi Temenggong di Brunei ialah 'Pengiran Temenggong Sahibul Bahar'.[1] Kedudukan Temenggong masih wujud pada masa ini, namun ianya hanya berperanan dalam adat istiadat diraja Brunei; Temenggong tidak lagi mempunyai peranan seperti dahulukala kerana tanggungjawab tersebut telah diambil alih oleh pasukan keselamatan seperti polis dan tentera, kecuali Temenggong sendiri menjawat jawatan tersebut. Buat masa ini, kedudukan Temenggong adalah kosong.

Malaysia

Di Kesultanan Johor, terdapat dua jawatan yang menggunakan gelaran Temenggung iaitu Raja Temenggung Muar dan Temenggung Johor. Sultan-sultan Johor Moden juga berasal daripada keturunan Temenggung bermula dari Temenggung Seri Maharaja Abu Bakar yang mula memakai gelaran Sultan pada tahun 1885. Kesultanan-kesultanan yang pernah menerima pengaruh Melaka juga menggunakan gelaran Temenggung sebagai gelaran pembesar mereka dengan fungsi yang hampir sama seperti Kesultanan Perak, Kesultanan Pahang dan Kesultanan Terengganu.

Gelaran Temenggung di setiap negeri Melayu Malaysia pada masa ini:

NegeriNama gelaranPenyandang
 JohorTunku Temenggong JohorYAM Tunku Idris Iskandar Ismail Abdul Rahman Al-Haj ibni Sultan Ibrahim
 KedahTunku Temenggong KedahYTM Tunku Tan Sri Intan Safinaz binti Almarhum Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah
 KelantanTengku Temenggong KelantanYBM Tengku Tan Sri Dato' Haji Mohamad Rizam bin Tengku Abdul Aziz
 PahangTengku Arif Temenggong PahangYAM Tengku Fahd Mua’adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah
 PerlisTengku Sharif Temenggong PerlisYAM Dato' Seri Diraja Syed Amir Zainal Abidin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail
 SelangorTengku Aris Temenggong SelangorKosong
Terdahulu: YAM Tengku Dato' Setia Muhammad Yusof Shah Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Sir Ala'eddin Sulaiman Shah Al-Haj
 TerengganuTengku Sri Temenggung Raja TerengganuYAM Dato' Seri Tengku Baharuddin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah

Sarawak

Temenggong ialah gelaran tertinggi bagi ketua masyarakat di bahagian di Sarawak mengikut kaum. Misalnya, terdapat Temenggong bagi masyarakat Melayu, Cina, Iban, Bidayuh, dan Orang Ulu..[2]

Lihat juga

Rujukan

  1. Al-Sufri, Mohd. Jamil (2002). Adat Istiadat Diraja Brunei. Bandar Seri Begawan: Jabatan Adat Istiadat Negara. m/s. 11. ISBN 9991734228.
  2. Ketua Masyarakat Kuching
This article is issued from Wikipedia. The text is licensed under Creative Commons - Attribution - Sharealike. Additional terms may apply for the media files.