Maxolvin Sintore

Anak sulung dari seorang ayah yang bekerja sebagai buruh kasar (kini pesara) dan seorang ibu yang mutlitasking (surirumah, petani, penoreh getah,penjual sarapan pagi),  Maxolvin Sintore Gabu (Max) merupakan anak jati Dusun Tindal yang berasal dari Kg. Suromboton, Tenghilan. Beliau merupakan seorang penganut agama Katolik, dan mempercayai bahawa hidup ini adalah sebuah kesempatan. Apa yang berlaku pada hari esok akan ditentukan oleh kuasa Tuhan.

Maxolvin Sintore

Latar Belakang Pendidikan

Dilahirkan pada 10 April 1989, beliau membesar di Tenghilan dan memulakan zaman persekolahan di Tabika Kemas Kg. Suromboton, Sekolah Rendah Adventist Tenghilan, SRK St. James Tenghilan, SM St. James Tenghilan dan SMK Tenghilan.

Di peringkat lebih tinggi, beliau merupakan lulusan Kolej Matrikulasi Labuan dalam bidang Sains Fizik dan melanjutkan pelajaran ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Kampus Bangi Selangor dalam bidang Geologi (Majoring in Petroleum Geology).

Beliau juga merupakan mantan Presiden Kelab Geologi Universiti Kebangsaan Malaysia sessi 2010/2011 dan Exco Music bagi Persatuan Pelajar Katolik UKM (CSSUKM) pada tahun yang sama.

Latar Belakang Politik

Dalam politik, beliau bermula pada 2012 sebagai aktivist berkaitan dengan ketidakadilan dalam pembangunan yang dialami oleh Sabah vs Semenanjung Malaysia selama bersama dalam Persekutuan Malaysia. Pada ketika itu, beliau hanya menggunakan media massa kerana beliau bekerja di Kuala Lumpur secara fizikalnya walaupun jiwa dan raganya berada di Sabah.

Pada 2016, apabila beliau pulang ke negeri di bawah bayu, beliau menyertai sebuah parti politik tempatan (Parti Cinta Sabah) sebagai Timbalan Ketua Pemuda peringkat  bahagian Tamparuli, dan Setiausaha Penganjur Pemuda di peringkat Pusat, sebelum di lantik sebagai Naib Ketua Pemuda peringkat pusat pada 2017.

Selepas PRU14 pada 10 Mei 2018, akibat tidak bersetuju dengan tindakan PCS untuk bertanding secara solo dalam PRU 14, beliau bertindak keluar dari parti PCS dan merehatkan diri dari politik.

Pada Mei 2019, atas perbincangan dengan beberapa sahabat dan keluarga, beliau menyertai UPKO sebagai seorang ahli biasa. September 2019, beliau diberi tanggungjawab untuk menjadi Ketua Komulakan (Belia) UPKO peringkat DUN Tamparuli dan pada tahun 2020, beliau dilantik menjadi Ketua Pergerakan Generasi Muda UPKO Malaysia.

Matlamat utama beliau dalam menyertai politik adalah untuk menjadi telinga dan suara kepada masyarakat akar umbi dan untuk menjadi salah satu daripada penyelesaian masalah rakyat terutamanya belia di kawasan luar bandar.

Kerjaya

Beliau memulakan kerjaya beliau dalam bidang Minyak dan Gas pada tahun 2012 bersama dengan sebuah syarikat minyak antarabangsa iaitu Schlumberger Wellog di Kuala Lumpur. Sepanjang bekerja dengan syarikat ini, beliau diberi peluang untuk melanjutkan kepakaran dalam bidang Geosains, beliau telah dihantar untuk menghadiri kursus selama lapan minggu ke Abingdon Technology Centre, United Kingdom dan selama enam minggu ke Middle East Training Centre- Abu Dhabi, United Arab Emirates. Selain daripada memberi khidmat kepada klien di Malaysia (PETRONAS), beliau juga sering melawat klien di Negara Brunei seperti Brunei Shell Petroleum dan Petroleum Brunei.

Atas semangat cinta akan Sabah, pada tahun 2014, beliau telah memilih untuk berhenti daripada Schlumberger, walaupun mendapat tawaran yang sangat lumayan untuk kekal Bersama dengan Schlumberger, demi untuk berpindah ke Sarawak sebelum berpindah ke Sabah pada tahun 2016.

Walaupun ada rakan-rakan yang mempersoalkan keputusan beliau untuk memilih pekerjaan yang membayar gaji lebih rendah di Sabah, beliau tidak pernah menyesal kerana tujuan beliau untuk hidup bukanlah untuk mengejar kekayaan tetapi untuk mengejar kebahagiaan yang mana tidak boleh dibeli dengan wang ringgit.

This article is issued from Wikipedia. The text is licensed under Creative Commons - Attribution - Sharealike. Additional terms may apply for the media files.