Kamn Ismail
Kamaruddin "Kamn" Ismail (8 Februari 1956[1] – 8 Disember 2019[2]) merupakan seorang pengarah, penulis, juruanimasi dan pelakon suara Malaysia. Beliau terkenal sebagai pengarah siri animasi Usop Sontorian (1993–1997), siri animasi terbitan Kharisma Pictures dan juga merupakan pencipta watak dan cerita animasi Keluang Man (1997–2001). Beliau juga dikenali sebagai pelopor pengarah siri animasi TV pertama di Malaysia.[3][4]
Kamn Ismail | |
|---|---|
| Kelahiran | Kamaruddin bin Ismail 8 Februari 1956 |
| Meninggal dunia | 8 Disember 2019 (umur 63) |
| Dikebumikan | Tanah Perkuburan Islam Bukit Tandang, Petaling Jaya, Selangor |
| Pekerjaan | Pengarah, penulis, pelukis, juruanimasi, pelakon suara |
| Tahun aktif | 1975–2019 |
Karya terkenal | |
Biografi
Beliau dilahirkan pada 8 Februari 1956 di Pengkalan Balak, Melaka dan dibesarkan di Kuala Lumpur. Beliau bersekolah di peringkat rendah dan menengah di Methodist Boys School Sentul. Selepas tamat persekolahan, beliau memulakan kerjaya sebagai pelukis.[1]
Beliau bekerja dengan sebuah studio animasi England, MacLean & Company, yang pada ketika itu sedang menjalankan penggambaran filem di Malaysia. Beliau menjadi pelukis skenik di studio itu dan filem yang dihasilkan adalah filem Paper Tiger (1975) arahan Ken Annakin.[1]
Beliau seterusnya bekerja sebagai kerani di Keretapi Tanah Melayu (KTM) sehingga penswastaannya pada tahun 1992. Kamn Ismail memulakan kerjaya animasi bersama Dato' Mohd Othman Yusof dan Micheal Lum menerbitkan siri animasi pertama negara, Usop Sontorian, yang mana beliau berkhidmat sebagai pengarah.[5] Beliau seterusnya mengarahkan siri animasi adiwira Keluang Man terbitan UAS Communications.
Beliau kemudiannya menubuhkan syarikat animasinya sendiri, Quest Animation (m) Sdn. Bhd yang mana Kamn Ismail adalah Pengarah Urusan syarikat.[6]
Pada 1 April 2018, Rumah Kartun dan Komik Malaysia bersama Animas menobatkan beliau sebagai Tokoh Penglipurlara Animasi Malaysia pada malam anugerah kartunis dan hari kartunis 2018 di Muzium Negara.[2]
Kematian
Beliau telah meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya, Kuala Lumpur pada 8 Disember 2019 jam 4:15 petang.[7]
Filemografi
| Tahun | Tajuk | Pengarah | Penerbit | Pelakon suara | Catatan |
|---|---|---|---|---|---|
| 1993–1997 | Usop Sontorian | Ya | Tidak | Ya | Juga sebagai pelakon suara |
| 1997–2001 | Keluang Man | Ya | Ya | Tidak | Penulis, Pencipta Asal |
| 2002 | Che Nat | Ya | Ya | Ya | Penulis, 49 episod |
| 2002 | Toman 1 | Ya | Ya | Ya | Penulis, 13 episod |
| 2002 | Kumang | Ya | Ya | Ya | Penulis, 45 minit telemovie |
| 2003-2004 | Kumang Lagenda Sarawak | Ya | Ya | Ya | Penulis, 26 episod |
| 2004-2005 | Lagenda Kinabalu | Ya | Ya | Ya | Penulis, 26 episod |
| 2006 | Pusaka | Ya | Ya | Ya | Penulis, 26 episod |
| 2006-2007 | Pejuang | Ya | Ya | Ya | Penulis, 26 episod |
| 2008-2010 | Duwi | Ya | Ya | Ya | Penulis, 26 episod |
| 2015-2018 | Mat Kilau | Ya | Ya | Ya | Penulis, 13 episod |
Rujukan
- "A brief history on our Managing Director & Producer Kamn Ismail" [Sejarah ringkas mengenai Pengarah Urusan dan Penerbit kami, Kamn Ismail]. UAS ARTS (M) Sdn Bhd (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 9 Disember 2019. Dicapai pada 10 Mac 2018.
- Afiezy Azaman (8 Disember 2019). "Pencipta watak 'Keluang Man' dan 'Usop Sontorian' meninggal dunia". Astro Awani. Diarkibkan daripada yang asal pada 9 Disember 2019. Dicapai pada 9 Disember 2019.
- Kepayahan karyawan - Rencana Utusan Malaysia (24 Januari 2015). Dicapai pada 10 Mac 2018.
- "Pengarah Animasi TV pertama Malaysia, Kamn Ismail". Faris Ghazali. 9 Januari 2017. Dicapai pada 19 Jun 2017.
- Mengimbas Kembali Siri Animasi Pertama di Malaysia 'Usop Sontorian' Diarkibkan 2018-06-19 di Wayback Machine Sarawakiana (9 Mei 2014). Diperoleh pada 24 April 2018.
- Mohammed Shahemey Azmi (28 Jun 2015). Animasi Malaysia cetus fenomena Diarkibkan 2018-03-11 di Wayback Machine Kosmo!. Diperoleh pada 10 Mac 2018.
- Mohd Hazrizal Mohd Hanapiah (8 Disember 2019). Tokoh animasi digital Kamn Ismail meninggal dunia Sinar Harian. Dicapai pada 8 Disember 2019.